Pasukan operasi SAR memberi yang terbaik mengikut bidang kuasa, kepakaran masing-masing

Anggota penyelamat mengumpul maklumat yang diperolehi untuk melancarkan operasi.

KUCHING,4 Okt: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak hanya agensi bantuan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) bot karam di perairan Pulau Satang.

Pengarahnya Khirudin Drahman berkata operasi tersebut yang memasuki hari ketiga hari ini adalah diterajui Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selaras dengan peruntukkan Akta 633 Akta APMM 2004 iaitu melaksanakan tugas mencari dan menyelamat di Zon Maritim Malaysia dan lautan lepas.

“Dengan kedudukan terakhir bot yang membawa 2 kru kapal dan 8 pemancing berkenaan adalah lebih kurang 21 batu nautika berhampiran Pulau Satang, maka ianya adalah di bawah Zon Maritim Malaysia dan tiada percangahan dari aspek tugas dan tanggungjawab kepada APMM.

“Disamping itu, keupayaan logistik marin Bomba adalah terhad dan sesuai di kawasan pesisiran pantai dan sungai sahaja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang juga merangkap seorang menteri berkenaan operasi SAR tersebut pada 3 Oktober lalu.

Menjelaskan lebih lanjut, Khirudin memberitahu Bomba hanya mempunyai skop tugas pencarian di kawasan persisiran pantai dan sungai iaitu selaras dengan Akta 341 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 Seksyen 5(1)(c).

“Situasi ini mewujudkan skop tanggungjawab dan peranan agensi masing-masing dalam usaha memastikan operasi berjalan lancar dan mencapai objektifnya.

“Perkara ini selaras dengan arahan MKN 20 yang meletakkan agensi-agensi mengikut bidang tanggungjawab kuasa dan kepakaran masing-masing,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mewakili Bomba Sarawak berharap agar tiada salah faham terhadap bidang kuasa dan tanggungjawab serta Prosedur Operasi Standard (SOP) setiap agensi yang terlibat.

Sementara itu, Pengarah APMM Sarawak Laksamana Pertama Maritim Zin Azman dalam sidang medianya semalam turut memberitahu pihaknya terpaksa menanguhkan operasi sekitar jam 6.30 petang Sabtu disebabkan faktor keselamatan.

Katanya, sekiranya operasi diteruskan adalah amat berbahaya kepada mangsa kerana dikhuatiri dilanggar kapal kerana jarak penglihatan yang terhad.

Terdahulunya Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mengeluarkan satu kenyataan mempersoalkan kenapa operasi ditangguhkan meskipun keadaan cuaca baik. – DayakDaily