Oleh Chris Bishop
KUCHING, 14 Jan: Empat anggota pasukan penyelamat pantai yang dilatih Angkatan Pertahanan Awam ditempatkan di pantai peranginan Damai Beach Resort.
Pasukan penyelamat di pantai tumpuan pelancong tersebut beroperasi dari jam 9 pagi hingga 7 malam.
Menurut seorang pengawal pantai Mohamad Ramadan, 24, tugas mereka bukan sahaja melakukan rondaan di sekitar pesisiran pantai tetapi juga memantau keadaan dari menara tinjau untuk memastikan langkah awal boleh diambil.
“Langkah-langkah yang diambil termasuk mengeluarkan amaran beredar dari air atau pantai ketika berlaku ombak besar dan ketika cuaca buruk.
“Ketika itu bendera merah sebagai amaran beredar dipacak dan pengunjung harus mematuhi,” katanya ketika ditemui DayakDaily di Damai Beach Resort di Santubong hari ini.
Tambah Ramadan yang sudah 5 tahun ditugaskan di pantai tersebut, setiap anggota penyelamat mestilah memiliki kemahiran berenang yang tinggi.
Katanya, mereka menerima latihan menyelamat di Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Wilayah Sarawak di Muara Tebas.
“Tugas harian adalah memantau situasi laut, pergerakan pengunjung.
“Seorang pengawal akan berada di menara tinjauan untuk memantau keadaan persekitaran; yang lain berada dalam keadaan sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” kata Ramadan.
Dalam pada itu katanya, pasukan pengawal pantai dilengkapi dengan semua peralatan menyelamat.
Rakan-rakan lain bersama Ramadan ialah Azhar Azari, 34, dari Kampung Tupong, Khalid Shukorno, 27, dari Kampung Buntal dan Sarjan Zizi dari Kampung Tabuan Melayu. — DayakDaily