Anggota TUDM Sarawak tampil derma darah menyelamatkan pesakit Thalassemia

Gambar Muhamad Adhwa dan isterinya ketika beliau menderma darah, yang disiarkan dalam laman Facebook Blood Bank HUS.

KUCHING, Feb 4: Seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berkhidmat di negeri ini menjadi wira hari ini dengan menderma darahnya bagi menyelamatkan seorang pesakit Thalassemia.

Menurut laman Facebook Blood Bank Hospital Umum Sarawak (HUS) hari ini, penderma darah tersebut ialah Muhamad Adhwa Mohd Mustapha, 25, berasal dari Johor.

“Hari ini seorang hero dalam kalangan anda, penderma darah telah tampil untuk membantu. Muhamad Adhwa Mohd Mustapha, 25 berasal dari Johor dan berkhidmat di TUDM Sarawak telah hadir menderma darah untuk membantu seorang pesakit Thalassemia yang kini mendapat rawatan di Hospital Limbang,” menurut kenyataan dalam laman Facebook itu hari ini.


Muhamad Adhwa yang ditemani isterinya ketika mendermakan darahnya berharap pendermaannya petang tadi di Unit Patologi dan Tabung Darah HUS mampu menyelamatkan nyawa pesakit berkenaan.

Blood Bank HUS tidak memberikan butiran lanjut tetapi pihaknya berterima kasih kepada anggota TUDM terbabit kerana tampil membantu orang lain dengan mendermakan darahnya.

Disamping itu, sempena perayaan Tahun Baru Cina ini, dua kempen derma darah akan diadakan di bandaraya ini. Kempen pertama akan diadakan di Boulevard Shopping Mall anjuran Rafiq Mirza Academy pada Febuari 9 depan dari jam 10 pagi hingga 3 petang.

Kempen kedua akan diadakan di Masjid Nurul Khair, Kampung Samariang Batu anjuran RELA Petra Jaya 4 pada Febuari 10 depan dari jam 9 pagi hingga 2 petang. — DayakDaily