Anggota polis ditahan positif dadah

File Photo/Photo source: Wikimedia Commons

PADAWAN, 28 Julai: Seorang anggota polis lelaki berpangkat Lans Koperal ditahan selepas didapati positif dadah, hari ini.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata suspek, 31, yang bertugas di Balai Polis Kota Sentosa dikesan positif Methamphetamine.

Jelasnya, ujian saringan air kencing dijalankan ke atasnya oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) pada jam 2.35 petang.


“Hasil siasatan awal, dia mengaku terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah selama lebih dua tahun.

“Suspek tidak memberikan kerjasama dengan siapa dia berurusan untuk pembelian dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata suspek juga mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Dia kini ditahan di lokap Balai Polis Siburan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Suspek yang dikatakan sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak mula berkhidmat dengan PDRM sejak 2009 sebagai anggota sokongan di Cawangan Pemandu Bukit Aman dan kemudian di Balai Polis Sungai Maong.

Sebelum ini dia juga pernah berkhidmat di IPD Sibu dan kemudian bertukar ke Balai Polis Kota Sentosa. — DayakDaily