Ancaman ‘bom’, amaran palsu — Polis Kuching

Siasatan polis di lokasi kejadian.
Advertisement

KUCHING, 22 Nov: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching mengesahkan menerima dua laporan polis berhubung ancaman bom melalui e-mel melibatkan sebuah sekolah antarabangsa dan sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan di Kuching.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata pihaknya dengan kerjasama sekolah terlibat telah segera mengambil tindakan mengosongkan premis terlibat.

Katanya, langkah pengungsian semua pelajar ke lokasi selamat telah diambil demi keselamatan.

Advertisement

“Tindakan pembersihan keselamatan bom telah dijalankan secara rapi oleh elemen-elemen PDRM di semua lokasi yang terlibat dan tiada ancaman dikesan.

“Siasatan mendapati, e-mel ancaman bom tersebut adalah palsu dan tiada bukti kewujudan risiko bom di mana-mana sekolah seperti didakwa,” Katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, polis telah mengambil langkah keselamatan dan memaksimumkan litupan keselamatan di sekolah berkaitan dan juga sekolah lain.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mendatangkan kegusaran awam,” katanya. — DayakDaily

Advertisement