AMK: Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia harus letak jawatan

Mohd Arwin Lim Abdullah

KUCHING, 6 Sept: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sarawak berpendapat Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin harus meletak jawatan dan meminta maaf khususnya kepada Veveonah Mosibin.

Pengarahnya Mohd Arwin Lim Abdullah berkata Zahidi juga harus meminta maaf kepada anak muda serta penduduk di kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak.

“Kami juga mendesak supaya Kementerian Komunikasi dan Multimedia fokus dalam menyelesaikan isu rakyat dan bukannya sibuk mencari helah untuk menutup kelemahan mereka sendiri,” katanya menerusi satu kenyataan.


Pada Khamis lepas (3 Sept) di Dewan Negara, Zahidi telah mendakwa kisah diceritakan Veveonah, seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), dalam Youtube adalah palsu dan sekadar untuk menaikkan nama sendiri.

Menurut Arwin lagi, AMK Sarawak juga berasa sangat kesal kerana daripada cuba untuk memahami dan seterusnya menyelesaikan masalah tersebut, Zahidi memilih untuk mengeluarkan tomahan palsu terhadap mereka.

Zahidi katanya cuba mengelak daripada dipertanggungjawabkan sama ada beliau telah gagal dan cuai dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai anggota pentadbiran kerajaan.

“Selain itu, AMK Sarawak juga membantah sikap timbalan menteri yang begitu angkuh sehingga mempersenda kesusahan dan cabaran yang dialami anak muda dari kawasan luar bandar.

“Cabaran-cabaran ini sememangnya adalah akibat daripada kegagalan serta kecuaian pihak pentadbir kerajaan dalam membekalkan kemudahan infrastruktur asas kepada penduduk luar bandar,” ujar beliau.

Arwin juga berpendapat tindakan Zahidi sangat tidak bertanggungjawab dan boleh dianggap sebagai menghina Dewan Negara kerana mengeluarkan kenyataan yang tidak tepat dan mengelirukan dewan serta rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, Zahidi dalam akaun media sosialnya telah mengakui bahawa kenyataan beliau di dalam Dewan Negara berkenaan Veveonah adalah tidak tepat.-DayakDaily