Ambil iktibar PKPD di Kampung Haji Baki, kata Fatimah

Fatimah (tengah) pada sidang media di Kuching hari ini (28 Okt 2020).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 28 Okt: Ambil iktibar daripada Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dikuatkuasakan di Kampung Haji Baki, kata Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Menurut beliau, seluruh rakyat harus mengambil tanggungjawab masing-masing untuk mencegah wabak tersebut daripada merebak ke kawasan lain.

“Mungkin setelah sekian lama, semenjak bulan Mac sehingga Oktober tahun ini pergerakan rakyat kita dihadkan oleh pandemik Covid-19.

“Akibat tekanan itu, mungkin ada yang cuba melepaskan diri atau terlupa Covid-19 masih belum berakhir.


“Justeru, seluruh rakyat harus berdisplin dalam mematuhi prosedur operasi ‘standard’ (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan khusus untuk memutuskan rangkaian penularan wabak,” katanya.

Fatimah berkata demikian pada satu sidang media selesai mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Pembangunan Sosial Sarawak di Bangunan Baitulmakmur di sini, hari ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) pada sidang media semalam telah memutuskan untuk menguatkuasakan PKPD di Kampung Haji Baki dekat sini mulai pukul 6 petang hari ini hingga 11 November 2020.

Pengerusi JPBNS Datuk Amar Douglas Uggah melaporkan sejak kes positif pertama direkodkan pada 18 Oktober, sebanyak 25 kes positif Covid-19 telah direkodkan di Kampung Haji Baki sehingga kini.

Kluster Baki melibatkan ahli keluarga terdekat kes indek, jiran terdekat, pelajar sekolah rendah dan menengah serta
pekerja kesihatan.

Dalam pada itu, JPBNS pada semalam turut memutuskan daerah Kuching telah bertukar status dari kuning kepada merah setelah merekodkan 49 kes jangkitan tempatan. — DayakDaily