Agong nasihat Ahli Parlimen sokong Belanjawaan 2021 demi kesejahteraan rakyat

Muhyiddin (kanan) ketika sesi menghadap Yang Dipertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara. Sumber foto: Istana Negara

KUALA LUMPUR, 28 Okt: Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menasihati Ahli-Ahli Dewan Rakyat untuk memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021 pada 6 November depan.

Ia demi membantu dalam meningkatkan kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi negara yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, Seri Paduka menegaskan Belanjawan 2021 amat penting kepada kerajaan dan pihak-pihak berkuasa, bagi melancarkan dasar serta usaha-usaha membendung ancaman Covid-19 daripada terus merebak.


“Seri Paduka Baginda mengingatkan Ahli-Ahli Dewan Rakyat bahawa sengketa politik untuk kepentingan peribadi masing-masing akan merugikan negara dan seluruh rakyat akan menjadi mangsa pada ketika negara masih lagi bergelut menghadapi ancaman wabak Covid-19 ini.

”Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah menyeru Ahli-Ahli Dewan Rakyat menghormati titah nasihat Seri Paduka Baginda untuk mereka memberhentikan segera segala perbalahan politik dan sebaliknya mengutamakan kebajikan rakyat serta kesejahteraan negara supaya Belanjawan 2021 diluluskan tanpa sebarang gangguan,” katanya.

Beliau berkata, nasihat tersebut disampaikan Baginda selepas menerima menghadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mesyuarat Pra-Kabinet di Istana Negara, hari ini.

Dalam sesi menghadap yang berlangsung lebih satu jam pada 8 pagi, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima taklimat ringkas berkenaan Belanjawan 2021 yang akan dibentang di Parlimen daripada perdana menteri

Ujar Ahmad Fadil, pada sesi menghadap tersebut, Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar belanjawan tersebut memberi penekanan kepada pemulihan ekonomi negara, kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat yang terkesan akibat penularan Covid-19.

Baginda juga katanya turut yakin dengan kemampuan Muhyiddin untuk menerajui kepimpinan negara pada saat negara sedang diuji dengan pelbagai krisis terutamanya berkaitan usaha menangai penularan Covid-19.

Ahmad Fadil berkata, Mesyuarat Pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Al-Sultan Abdullah untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan kerajaan. — DayakDaily