KUCHING, 23 MEI : Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Idris Buang memberi amaran kepada pihak pembangkang agar tidak menyelewengkan fakta berhubung sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kepada Perikatan Nasional (PN).
Pada satu sesi ‘live’ di laman Facebook rasminya, Idris menggesa Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan pembangkang yang lain untuk berpolitik secara bersih.
“Amaran kepada DAP, PSB dan semua pembangkang di Sarawak supaya tidak menyelewengkan fakta, supaya tidak bercakap apa yang palsu terhadap GPS dan kerajaan PN yang sekarang ini menerajui Kerajaan Pusat.
“Memorandum Persefahaman (MoU) itu adalah satu perjanjian yang ringkas, tiada komplikasi dan tidak berdaftar dengan mana-mana perbadanan.
“Ia hanya satu persefahaman di dalam PN yang mengandungi Bersatu, UMNO, PAS bersama dengan MCA, MIC dan GPS,” kata Idris.
ADUN Muara Tuang itu dengan tegas mengatakan bahawa GPS bukanlah anggota PN dan ia merupakan fakta.
Katanya, perkara yang berlaku di dalam PN tiada kena mengena dengan GPS dan perkara yang berlaku di dalam GPS, PN tiada hak untuk masuk campur.
“Tetapi oleh kerana MoU tersebut, parti-parti ini dapat bergabung, berkolaborasi, berkerjasama untuk membentuk kerajaan pusat.
“Seperti pakatan yang dahulu iaitu sebelum Pakatan Harapan(PH), ia tidak berdaftar.
“Tetapi sekarang ini PH telah berdaftar seperti Barisan Nasional, kita (PN) tidak dan ini sudah jelas,” ujar Idris.
Justeru beliau menganggap ADUN Ba Kelalan Baru Bian dan ADUN Kota Sentosa Chong Chieng Jen yang kedua-duanya peguam faham erti MoU tersebut.
Mengulas lanjut, Idris berkata MoU lebih kepada kerjasama yang longgar tetapi menitikberatkan persefahaman di antara entiti-entiti.
“Untuk rakyat Malaysia khususnya rakyat Sarawak kita perlu kerajaan pusat yang kukuh, ia untuk membantu semua negeri termasuk Sarawak.
“GPS tidak terikat kepada perlembagaan PN. Kita ada perlembagaan sendiri, kita bebas, kita parti lokal Sarawak,” ujar beliau.
Idris turut memberi amaran kepada pemimpin DAP, Aziz Isa dan John Brian agar menghentikan tuduhan yang beliau ingin membawa pelarian Rohingya ke dalam masyarakat atau berhadapan tindakan mahkamah.
“Saya hanya mahu orang Rohingya ditempatkan di satu kawasan khas dan bukan bebas di dalam masyarakat Malaysia.
“Kalau kamu tuduh saya bawa masuk Rohingya ke dalam masyarakat, kamu berdusta dan saya akan bawa kamu ke mahkamah,” tegas Idris.—DayakDaily