Covid-19: 53 kes pulih dengan 48 kes baharu, tiada kematian

Dr Noor Hisham pada sidang media harian di Putrajaya. (gambar fail)

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 23 MEI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan pertambahan 53 kes pulih Covid-19 dan dibenarkan discaj di seluruh negara pada hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini  menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya dari jangkitan Covid-19 dan discaj dari wad meningkat kepada 5, 912 kes.


Katanya, ia bersamaan 82.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif Covid-19.

“Sehingga 23 Mei 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 48 kes baharu yang telah dilaporkan, ia menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 7,185 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,158 kes.

“Seramai 9 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi(ICU). Daripada jumlah tersebut, 5 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Berhubung 48 kes baharu yang dilaporkan hari ini, Dr Noor Hisham berkata 4 adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Manakala 44 kes adalah dari penularan tempatan dengan 25 kes melibatkan bukan warga negara Malaysia di mana 21 kes dikesan di depoh tahanan imigresen di Semenyih.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa tiada kematian dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan(CPRC) hari ini.

Justeru katanya, jumlah kes kematian di Malaysia kekal 115 kes iaitu bersamaan dengan 1.60 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. —DayakDaily