Balai Raya Sebauh dijadikan Pusat Program Vaksinasi Fasa 2

Kelihatan Jack (dua dari kiri) semasa lawatan beliau ke Balai Raya Sebauh.

KUCHING, 21 April: Balai Raya Sebauh dicadangkan untuk dijadikan Pusat Program Vaksinasi Covid-19 Fasa 2 bagi Daerah Sebauh.

Menurut Laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), perkara ini diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Bintulu (JPBB) Jack Aman Luat pada lawatan ke balai raya tersebut pada Isnin (19 April).

Menurut Jack yang juga Residen Bahagian Bintulu, lawatan tersebut bertujuan untuk menambah baik kelengkapan bagi persediaan Program Vaksinasi bagi Daerah Sebauh yang dijadualkan bermula pada Mei 2021.


ā€œPersiapan tersebut turut mendapat kerjasama daripada Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA),ā€ katanya semasa ditemui selepas mengadakan lawatan dan tinjauan di Balai Raya Sebauh.

Kelihatan bantuan makanan yang dihantar ke Rumah Philip Entalai di Bintulu.

Dalam pada itu, seramai 39 pintu Rumah Philip Entalai menerima bantuan makanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Bintulu pada Selasa (20 April).

Bantuan makanan ini diberikan ekoran Pengesanan Kes Aktif (ACD) di kawasan tersebut selama 14 hari yang bermula pada 16 April lepas.

Agihan makanan ini bertujuan meringankan beban penduduk yang tidak dibenarkan keluar dan masuk bagi membendung penularan wabak Covid-19. ā€” DayakDaily