Aktiviti solat berjemaah, terawih dibenar dengan SOP ketat

Abang Johari (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan daripada MIS kepada Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Sarawak Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai.

KUCHING, 8 April : Aktiviti solat berjamaah dan terawih di surau dan masjid dibenarkan untuk ditunaikan sepanjang Ramadan di Sarawak namun ia perlu mematuhi SOP bagi mengekang penularan Covid-19

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kebenaran itu sesuatu berita baik bagi umat Islam di Sarawak dan menyarankan agar aktiviti terbabit dilakukan tidak melebihi jam 10 malam.

“Kita patuhlah kepada SOP (prosedur operasi ‘standard’) kita kerana kalau boleh tamat jam 10 malam apa jua doa kita habislah pada jam 10 malam di masjid atau surau.


“Jika mahu menyambungnya di rumah itu bergantung kepada anda semua kerana ia amalan kita di bulan puasa tetapi di masjid atau surau kerana ada rakan-rakan kita yang lain berkumpul di masjid atau surau terbabit,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan Majlis Islam Sarawak (MIS) kepada masjid dan surau di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.

Abang Johari berkata, kebenaran itu merupakan satu kelegaan bagi umat Islam di Sarawak memandangkan aktiviti solat berjemaah dan terawih sepanjang Ramadan tidak dibenarkan untuk dilakukan pada tahun lepas.

Katanya, kebenaran itu juga bermaksud terdapat ruang untuk umat islam di negeri ini menunaikan ibadat mereka sepanjang bulan Ramadan.

Beliau dalam pada itu turut berterima kasih kepada badan korporat dan orang perseorangan yang menyumbangkan dana kepada MIS bagi tujuan untuk diagihkan kepada masjid dan surau di seluruh Sarawak.

“Banyaklah orang yang bersedekah dan dengan itu kita dapat mengagihkan (sedekah) dan membantu masjid dan surau dalam bulan Ramadan di seluruh negeri sarawak.

“Seperti kata Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak sebentar tadi, lebih kurang RM1.5 juta kita sediakan untuk diagihkan kepada surau dan masjid terlibat,” katanya.

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg

Menurut Abang Johari, walaupun keadaan ekonomi yang sedikit merudum pada dua tahun kebelakangan ini, masih terdapat organisasi korporat yang berupaya menyumbang kepada Baitulmal dalam bentuk zakat.

Situasi itu, katanya, menggambarkan bahawa walaupun dengan situasi semasa pandemik Covid-19, keadaan ekonomi Sarawak masih berada pada landasan yang tepat.

“Walaupun keadaan ekonomi sedikit merudum tahun lalu, masih ada syarikat-syarikat kita yang memberi zakat kepada Baitulmal. Jadi ini membantu dalam kita menjalankan ibadah kita,” katanya.

Bagi tahun 2021, sebanyak 449 buah masjid dan 1,532 surau di seluruh Sarawak menerima sumbangan berjumlah RM1,000 daripada MIS bagi tujuan mengimarahkan rumah ibadat terbabit sepanjang Ramadan.

Sementara itu, Yang Dipertua MIS Datu Misnu Taha berkata, inisiatif itu yang dilaksanaka oleh majlis berkenaan sejak 2009 telah menyalurkan sebanyak RM18,045,000 sumbangan kepada masjid dan surau di seluruh Sarawak.

Katanya, jumlah sumbangan yang disalurkan kepada masjid dan surau di seluruh negeri Sarawak kekal RM1,000 sejak inisiatif tersebut dilaksanakan bermula pada 2009 sehingga kini. — DayakDaily