KUCHING, Jan 7: Akta Agensi Pekerjaan Swasta (Pindaan) 2017 yang antara lain bertujuan melindungi pekerja tempatan yang mendapat pekerjaan di luar negara melalui agensi pekerjaan swasta (APS) akan berkuatkuasa di seluruh negara Feb 1 ini.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot dalam satu kenyataan akhbar semalam berkata, akta itu akan dikuatkuasakan oleh Kementerian Sumber Manusia melalui Jabatan Tenaga Kerja.
Menurut beliau, pindaan akta itu yang diluluskan pada Ogos 14 tahun lalu akan memantapkan lagi kuasa kerajaan dalam mengawal selia semua aktiviti yang dikendalikan agensi pekerjaan swasta dalam urusan merekrut dan menempatkan pencari kerja.
“Ciri-ciri utama pindaan itu antaranya bagi memperluaskan peranan agensi pekerjaan swasta meliputi urusan merekrut dan menempatkan para pekerja bukan warganegara termasuk pekhidmat domestik asing, selain daripada merekrut dan menempatkan para pencari kerja warganegara di bawah peruntukan sedia ada.
“Pindaan itu juga melibatkan pengklasifikasian pengeluaran lesen sedia ada kepada tiga kategori iaitu Lesen A untuk merekrut pekerja warganegara bagi penempatan dalam Malaysia dan Lesen B bagi merekrut pencari kerja warganegara bagi penempatan pekerjaan di dalam dan luar Malaysia serta perkhidmat domestik asing dalam Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Mengulas lanjut, Riot memberitahu, Lesen C diperuntukkan bagi merekrut dan menempatkan para pencari kerja warganegara di dalam dan luar Malaysia serta menempatkan pekerja bukan warganegara termasuk perkhidmat domestik ke dalam pekerjaan dengan para majikan dalam negara.
Tambahnya, bayaran wang jaminan sebanyak RM5,000 bagi Lesen A, RM100,000 bagi Lesen B dan RM250,000 bagi Lesen C akan dikenakan untuk mengganti bon tunai sebanyak RM1,000 dan bayaran endorsan RM5,000 yang dikenakan terhadap sesebuah agensi sebelum ini.
“Tempoh peralihan selama enam bulan akan diberikan dari tarikh berkuat kuasa pindaan akta tersebut sehingga Julai 30 nanti, bagi membolehkan agensi pekerjaan swasta yang sedang beroperasi meneruskan aktiviti merekrut dan menempatkan pencari kerja sehingga tempoh lesen mereka tamat dan tidak tertakluk kepada syarat baharu pindaan berkaitan keperluan wang jaminan.
“Penalti bagi kesalahan khususnya berkaitan kegiatan merekrut dan menempatkan para pencari kerja tanpa lesen ditingkatkan kepada minimum RM50,000 sehingga RM250,000 berbanding minimum RM2,000 sehingga RM5,000,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, hukuman minimum bagi tempoh pemenjaraan pula ditingkatkan kepada satu tahun berbanding enam bulan sebelum ini, manakala tempoh maksimum kekal tiga tahun.
Sehubungan itu, katanya, sesi taklimat kepada semua 1,202 agensi pekerjaan swasta di seluruh negara akan diadakan pada bulan ini bagi menerangkan perubahan prosedur dan syarat lesen di bawah pindaan akta tersebut.
“Bermula Februari juga semua agensi pekerjaan swasta yang ingin memohon lesen baharu perlu mengembalikan lesen sedia ada yang dikeluarkan di bawah Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 dan mengemukakan tuntutan untuk bayaran balik bon tunai oleh Jabatan Tenaga Kerja,” katanya lagi. — DayakDaily