Ops buru sang bedal di Sungai Dit dilancarkan

Kelihatan pihak berkuasa melakukan operasi memburu buaya di Sungai Dit, Debak.

BETONG, Jan 7: Operasi memburu sang bedal yang menyerang dan membaham seorang kanak-kanak lelaki di Sungai Dit, Debak giat dilancarkan oleh pihak berkuasa semalam.

Gerakan memburu reptilia ganas itu dijalankan oleh pihak Jabatan Hutan Sarawak dan dibantu pasukan bomba dan polis.

Jarak pencarian buaya itu dilakukan kira-kira 2 kilometer ke hulu dan 1 kilometer ke hilir Sungai Dit berhampiran Kampung Melayu Dit, Debak.


Bagaimanapun, operasi pemburuan sang bedal yang bermula pada pukul 8 pagi dan berakhir pada pukul 1 petang tidak menemui sebarang petunjuk positif.

Sebelum ini, DayakDaily melaporkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang mangsa serangan buaya yang memasuki hari ketiga berjaya menemui mangsa dalam keadaan ngeri iaitu tanpa kepala, tangan dan kaki di tebing sungai berdekatan Kampung Buda, Debak di sini semalam.

Lebih memilukan, hanya bahagian anggota badan mangsa, Abang Mohamad Haikal Abang Suip, 13, sahaja ditemui di kawasan tebing sungai berhampiran Kampung Buda di sini kira-kira pukul 10.45 pagi.

Cebisan anggota badan mangsa ditemui oleh pihak bomba bersama orang kampung yang turut serta dalam pencarian tersebut.

Jarak mangsa ditemui adalah lebih kurang 1.5 kilometer di kawasan sebuah tanjung berdekatan Kampung Buda.

Mangsa seterusnya dibawa ke Klinik Kesihatan Debak untuk tindakan selanjutnya. — DayakDaily