Akibat cuba cabul anak saudara perempuannya, lelaki ditahan

Polis menahan suspek (berdiri tengah, tiga dari kiri) di sebuah rumah di Taman Desa Senadin, Miri. .

MIRI, 31 Mei: Tindakan seorang lelaki warga tempatan menanggalkan seluar di depan anak saudara perempuannya membawa padah apabila dia ditahan polis untuk siasatan lanjut.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Supt Sabri Zainol, suspek berusia 39 tahun itu ditahan pada petang semalam jam 6.40 susulan laporan yang dibuat mangsa.

Suspek ditangkap di sebuah rumah di Taman Desa Senadin di sini oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (IPD) Miri.

Kejadian berlaku pada Rabu (26 Mei) sekitar jam 2.14 petang, semasa mangsa yang berusia 15 tahun itu sedang berada di dalam bilik tidur.

Difahamkan, dalam kejadian itu, pakciknya tiba-tiba telah masuk ke dalam bilik remaja perempuan tersebut, sebelum bertindak menanggalkan seluar dan menunjukkan kemaluannya dengan mangsa.

Suspek juga memegang tangan mangsa dan cuba membawanya masuk ke dalam bilik tandas namun mangsa telah berjaya menolak dan melarikan diri.

Kejadian dilaporkan berlaku di rumah nenek mangsa di Taman Desa Senadin.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15 (a)(i) Akta 792, Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017. — DayakDaily