KUCHING, Okt 24: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menyokong agenda kerajaan negeri mewujudkan persekitaran perniagaan kondusif kepada syarikat dan sektor swasta di negeri ini dan menjimatkan kos pematuhan sebanyak RM32.5 juta melalui perlaksanaan program Amalan Peraturan Baik (GRP).
Ketua Pengarah MPC, Dato Mohd Razali Hussain berkata demikian dengan terdapat tiga program GRP terbabit yang telah disokong pihaknya iaitu program Polisi Negeri Terhadap Pembangunan dan Pelaksanaan Peraturan (SPDIR), program Mengurangkan Beban Peraturan Tidak Perlu (RURB) dan program Memodenkan Perlesenan Perniagaan (MBL).
“Manakala jumlah potensi penjimatan kos pematuhan dianggarkan mencecah RM32.5 juta selepas ketiga-tiga program terbabit dilaksanakan dengan sepenuhnya,” katanya ketika merasmikan Eksposisi Kecemerlangan Perniagaan 2018 anjuran MPC di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Sejingkat, di sini, hari ini.
Mohd Razali sehubungan itu memberikan jaminan kepada pihak perusahaan dan sektor swasta di negeri ini yang kerajaan negeri bersama MPC ketika ini sedang bersungguh menjadikan persekitaran perniagaan di Sarawak kondusif atau pro syarikat, yang juga termasuk sektor swasta melalui perlaksanaan GRP.
“Serentak di tahap perusahaan, MPC juga membantu perniagaan tempatan dengan mengadakan program yang direka bagi memanfaatkan kemampuan optimum mereka dan boleh menjana penjimatan kos sebanyak RM2.3 juta melalui projek proses inovasi pada 2018,” katanya.
Sementara itu mengenai Eksposisi Kecemerlangan Perniagaan 2018 selama dua hari itu, Razali berkata acara tersebut diadakan bagi mempercepatkan lagi usaha mempupuk organisasi cemerlang di Sarawak dengan mempromosikan amalan pengurusan yang berkelas dunia dan sangat produktif.
“Ini adalah kali keempat acara ini dianjurkan di Sarawak sejak 2015. Ianya dihadiri seramai 53 peserta pada tahun pertamanya, kemudian meningkat kepada seramai 88 peserta pada 2016 dan seramai 250 peserta pada 2017. Saya diberitahu yang ada seramai 200 peserta menghadiri acara ini hari ini,” katanya.
Menurutnya sambutan ini menunjukkan kesungguhan peserta dan kerjasama diberikan organisasi mereka bagi mewujudkan kecemerlangan, malah acara tersebut juga mendapat sokongan dari kerajaan negeri dan kerajaan pusat.
Razali mendedahkan antara penceramah dan ahli panel pada acara terbabit tahun ini ialah Pengarah Bahagian Kecemerlangan Kualiti MPC, Suhaimi Hamad, Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak, Prof Dato Dr Jamil Hamali, Pengarah Eksekutif Krizik (M) Sdn Bhd, Jumary Jaapar, Pengurus Besar Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), Dr Zaidi Razak, Pengarah Jualan dan Pemasaran Armatrack Sdn Bhd, Anusia Ramasamy, Pengurus Besar Sumber Manusia Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd, Che Zulhaimee Abdullah dan Pengurus Besar SCIB Concrete Manufacturing Sdn Bhd, Chai Tze Khang. — DayakDaily