SME Sarawak digesa melibatkan diri dalam ekonomi digital

Awang Tengah (tiga dari kanan) menyampaikan sijil kepada penceramah Seminar Cetak Biru Produktiviti Malaysia Bagi Sektor Pembuatan anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Sejingkat, Kuching.

KUCHING, April 17: Kerajaan negeri menyarankan semua perusahaan kecil dan sederhana (SME) di negeri ini supaya mengikut nasihat Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk mereka melibatkan diri dalam ekonomi digital.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata demikian berikutan SME ketika ini merangkumi sehingga 98 peratus dari keseluruhan perniagaan ditubuhkan di negeri ini dan menjadi tulang belakang ekonomi Sarawak.

“Itu (memulakan ekonomi digital) menjadi fokus Ketua Menteri dan nasihat beliau memang betul iaitu kita (termasuk SME di Sarawak) semua mesti berusaha menyertai ekonomi digital; kalau tidak, kita akan ketinggalan,” katanya ketika merasmikan Seminar Cetak Biru Produktiviti Malaysia Bagi Sektor Pembuatan anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Sejingkat, di sini, hari ini.


Majlis terbabit juga dihadiri Menteri Muda Pembangunan Keusahawanan dan Perusahaan Kecil Sederhana Datuk Mohd Naroden Majais, Presiden Persekutuan Perniagaan Sarawak Datuk Abang Abdul Karim Tun Abang Openg dan Pengarah MPC Wilayah Sarawak Tengku Azmi Tengku Majid.

Awang Tengah berkata penyertaan SME negeri ini dalam ekonomi digital bukan lagi menjadi satu pilihan tetapi sudah menjadi satu kemestian disamping mereka perlu menjadi inovatif dan kreatif, mengunakan teknologi baharu bagi kekal bersaing dalam persekitaran global yang mencabar.

“Kerajaan boleh membantu sektor swasta terutamanya SME sebagai enjin pertumbuhan ekonomi negeri, tetapi mereka perlu mengambil peluang diwujudkan kerajaan melalui Koridor Tenaga Boleh Diperbahrui (SCORE), Transformasi Ekonomi Sosial dan Luar Bandar serta ekonomi digital,” katanya.

Katanya Sarawak tidak boleh bergantung kepada strategi kos rendah, teknologi rendah dan banyak mengunakan buruh bagi pertumbuhan ekonominya dan arah betul bagi negeri ini sekarang ialah melalui pembangunan perindustrian dan memanfaatkan ekonomi digital. ā€” DayakDaily