Adun Tasik Biru gesa sempadan Serikin dibuka segera

Henry (berdiri lima dari kiri) merakamkan kenangan bersama Raden (empat dari kiri) dan Zazuli (empat dari kanan) semasa lawatan ke Serikin

Oleh Chris Bishop

BAU, 8 Sept: Pos kawalan perbatasan di Serikin di Bau harus segera dibuka bagi faedah bersama penduduk di kedua-dua negara.

Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan Dato Henry Harry Jinep, pembukaan sempadan Serikin mampu merancakkan semula aktiviti ekonomi rentas sempadan yang suram sejak tiga tahun lepas kesan pandemik Covid-19.


“Maka kita harap sempadan Serikin ini dapat dibuka secepat mungkin walaupun dengan prosedur operasi ‘standard’ (SOP) yang ketat.

“Ini akan merancakkan kegiatan sosio-ekonomi penduduk di kedua-dua negara.

“Jangan tangguh lama-lama, orang kampung Serikin sudah mendirikan pondok dan gerai untuk menerima pengunjung dari Kalimantan, Indonesia.

“Pembukaan sempadan Serikin sudah tentu membawa faedah bersama,” kata Henry.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa mengiringi lawatan Ketua Pengarah Kastam Malaysia Dato Zazuli Johan bersama Konsulat Jenderal Indonesia di Kuching Raden Sigit Witjaksono ke Serikin hari ini.

Henry (tengah) menyampaikan cenderahati kepada Raden. Turut kelihatan Zazuli (kiri).

Semasa lawatan, Zazuli dan Raden turut melihat sendiri pembinaan Komplek Imigresen Dan Kastam (ICQS) milik Indonesia di Jagoi Babang, iaitu di seberang Serikin.

Tambah Henry yang juga Adun Tasik Biru, pembinaan ICQS milik Indonesia di Jagoi Babang akan siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini.

Namun katanya, perancangan untuk membina ICQS Serikin (milik Malaysia) hanya akan bermula pada tahun ini dan memerlukan tempoh tiga tahun untuk siap.

“Ini bermakna kalau di sebelah pihak Indonesia siap, mereka kena tunggu selama tiga tahun sehingga proses pergerakan pengunjung menggunakan passport dipakai.

“Siapnya ICQS Indonesia nanti kita masih menggunakan pas sementara,” ujar Henry.

Serikin sebelum pandemik Covid-19 bukan sahaja menjadi pilihan penduduk tempatan malah ia juga antara destinasi wajib dikunjungi pelancong khususnya dari semenanjung yang bercuti di Bandaraya Kuching.

Terletak kira-kira 60km dari Kuching, Pasar Serikin menjual pelbagai barangan seperti pakaian, kasut, beg, perabot, tikar rotan termasuk buah-buahan serta sayuran. — DayakDaily