Adun Repok mohon lampu isyarat dan besarkan jalan ke Pekan Jakar

Huang (kanan) pada lawatan ke tapak projek Jalan Jakar. Foto: Ukas

KUCHING, 3 April: Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Dato’ Sri Huang Tiong Sii memohon untuk membuat satu lampu isyarat bagi memudahkan pengguna kenderaan masuk ke Pekan Jakar.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Neger (Adun) Repok turut mencadangkan agar jalan di sekeliling diperluaskan bagi memudahkan kenderaan besar seperti lori dan treler membuat pusingan-U dan mengurangkan kesesakan lalu lintas.

“Pihak Lebuhraya Pan Borneo Sarawak berjanji akan membuka jalan sementara selepas dua minggu lagi supaya penduduk dari Merudu dapat menuju ke Jakar terus,” katanya sebagai memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas).


Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa lawatan ke kawasan tapak projek tersebut pada Sabtu (1 April).

Ujar Huang, penutupan laluan selama lebih sebulan memberi kesan dan menimbulkan rungutan dalam kalangan peniaga di kawasan Jakar.

Sehubungan itu, beliau juga meminta pihak Lebuhraya Pan Borneo Sarawak untuk menjalankan kerja baik pulih Jalan Repok iaitu dari simpang bulat ke Jakar dengan secepat mungkin. — DayakDaily