Acara dan festival dibatal jika jerebu berterusan — Abdul Karim

Abang Johari menyerahkan trofi kejohanan kepada Liew (kiri). Turut kelihatan Abdul Karim (tiga kanan).
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 18 Sept: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata acara yang bakal berlangsung mungkin terpaksa dibatalkan jika keadaan jerebu berterusan.

Katanya, pada bulan September dan Oktober ini banyak acara dan festival telah diatur di sekitar Kuching dan di seluruh negeri.

Advertisement

“Jika keadaan jerebu ini berterusan, pengunjung dari luar akan membatalkan kunjungan ke Sarawak.

“Kita mungkin terpaksa batalkan acara dan festival kerana tidak mahu mengambil risiko,” katanya kepada pemberita selesai sesi penyerahan trofi Jelajah Tenis Dunia ITF J3 Sarawak (II) Piala Ketua Menteri Ke-34 di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.

Penyerahan trofi kepada Presiden SLTA Dato Patrick Liew disempurnakan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Abdul Karim turut membayangkan yang kejohanan tenis yang dijadual berlangsung dari 24 hingga 29 September di gelanggang tenis SLTA juga akan menerima kesan.

“Ini termasuk kejohanan tenis yang bakal diadakan, dimana sesetengah peserta mungkin akan membatalkan penyertaan mereka.

“Kita harap keadaan jerebu ini akan reda kerana banyak lagi acara sukan dan festival seperti Spartan Race, Jazz Festival dan What About Kuching dijadual berlangsung,” katanya.

Tambahnya, sebarang penganjuran acara dan festival di luar akan dibatalkan jika bacaan Indek Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200.

Mengulas isu yang sama, Liew memaklumkan yang keputusan samada meneruskan kejohanan atau dibatal akan diketahui esok.

Katanya, Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) di London telah dimaklumkan berhubung situasi jerebu di Kuching.

“Kita telah berbincang dengan ITF di London dan masih menunggu keputusan dari mereka. Keputusan akan diumumkan esok, mungkin tempoh kejohanan dipendek atau dibatalkan,” kata Liew.

Jelajah Tenis Dunia ITF J3 Sarawak (II) Piala Ketua Menetri Ke-34 disertai 73 pemain lelaki dan 43 wanita dari 25 buah negara. — DayakDaily

Advertisement