Abun Sui: Tangani segera masalah jalan terputus di Belaga

Abun Sui Anyit (file photo)

KUCHING,31 Dis: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Hulu Rajang menggesa kerajaan untuk lebih serius dalam menangani masalah jalan raya di Belaga sering terputus apabila tiba musim hujan.

Ketua Cabang PKR Hulu Rajang, Abun Sui Anyit berkata dalam dua hari lepas, penduduk di Belaga sekali lagi berdepan masalah itu apabila tiga jalan yang menghubungkan penduduk di kampung sekitar dengan pekan Belaga terputus akibat kejadian Jambatan runtuh dan di tengelami air.

“Jalan dari Sungai Asap ke perkampungan Data Kakus, Rumah Alip, Uma Badeng Senap dan Long Bangan terputus di satu tempat melalui Sepakau akibat jambatan runtuh.


“Satu lagi jalan perhubungan yang dikenali Jalan KTS juga terputus akibat banjir besar sehingga menenggelamkan beberapa tempat jalan ini menyebabkan kenderaan tidak dapat melaluinya.

” Begitu juga jalan Menjawah – Belaga yang ditenggelami air yang dikatakan banjir akibat pelepasan takungan air empangan Bakun oleh pihak Sarawak Energy Berhad (SEB),” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Katanya, ketiga-tiga jalan tersebut merupakan jalan yang perhubungan yang sering digunakan oleh penduduk untuk ke pekan Belaga dan perkampungan sekitar dengan kenderaan darat.

Beliau berkata, masalah itu perlu ditangani dengan lebih serius bagi mengelakkan ia daripada terus berulang sehingga membebankan penduduk di kawasan Belaga.

Justeru, kata Abun, PKR Cabang Hulu Rajang mencadangkan agar dapat dibina satu jambatan besi atau konkrit yang lebih kukuh pada jalan di Sepakau bagi menggantikan jambatan lama yang runtuh dua hari lalu.

“Bagi jalan simpang KTS – Belaga pula, sistem saliran iaitu pemasangan pelantar (culvert) yang lebih besar perlu dilakukan di beberapa tempat yang sering dilanda banjir supaya aliran air tidak tersekat akibat pelantar yang kecil apabila volum air menjadi lebih besar.

“Manakala bagi kawasan jambatan Sungai Makero di Uma Kahei yang sering dilanda banjir apabila pelepasan takungan air empangan Mega Elektrik Bakun, pihak pemaju iaitu Sarawak Energy Berhad (SEB) diminta untuk lebih bertanggungjawab dalam melepaskan air takungan tersebut supaya tidak menyebabkan banjir di kawasan tersebut,”katanya.

Abun berkata, selain memberi fokus kepada masalah tersebut, pembinaan semula kemudahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Belaga juga telah terbakar baru-baru ini juga perlu di segerakan.

“PKR cabang Hulu Rajang mendapat maklumat daripada rakyat bahawa selain keperluan balai yang lebih baik, kenderaan pacuan empat roda untuk polis Belaga dan pondok Polis Sungai Asap dikatakan tidak mencukupi sehinggakan mayat mangsa kemalangan terpaksa dibawa ke hospital dari Belaga ke Hospital Bintulu untuk bedah siasat menggunakan kenderaan awam,

Katanya, Menteri dalam Negeri,Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang telah mengetahui kejadian yang menimpa IPD Belaga diharap bukan sahaja dapat menyediakan kemudahan yang diperlukan oleh pasukan keselamatan itu dalam kadar yang segera.

Ia bagi memastikan penduduk di kawasan Belaga berupaya mendapat perkhidmatan kepolisan yang terbaik seiring dengan kawasan di sekitarnya. – DayakDaily