Dua aktivis PKR terjun Sungai Sarawak tunai hajat PH tawan Putrajaya

Masuut dan Iswardy bersama ahli PKR selepas melakukan terjunan di Sungai Sarawak, Kuching.

KUCHING, Mei 13: Impian dua aktivis Parti Keadilan Rakyat (PKR) menunaikan ‘hajat’ mereka untuk melakukan terjunan di Sungai Sarawak sejak 2016 akhirnya tercapai selepas menyaksikan Pakatan Harapan (PH) menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Dua lelaki yang ingin dikenali sebagai Masuut Jamil, 53, dan Iswardy Morni, 41, menceritakan mereka berdua telah lama menyimpan hasrat untuk terjun di Sungai Sarawak di sini.

Jelas Masuut, mereka merupakan penyokong tegar dan aktivis PKR sejak 1998.


“Kami berniat untuk terjun di Sungai Sarawak sejak 2016 lagi dengan impian melihat gabungan PH menawan Putrajaya dari tangan Barisan Nasional (BN).

“Akhirnya, impian itu menjadi realiti apabila PH berjaya menakluki Putrajaya dalam pilihan raya umum yang lalu,” katanya.

Kedua-dua aktivis PKR itu melakukan terjunan di jeti Kampung Tanjung di sini sambil disaksikan penduduk setempat dan ahli PKR lain.

Keputusan PRU14 menyaksikan PH menang 123 kerusi Parlimen sekali gus membentuk kerajaan baharu di negara ini.

Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri yang ketujuh selepas kemenangan PH. ā€” DayakDaily