Oleh Chris Bishop
KUCHING, 4 Nov: Kementerian Belia dan Sukan akan masuk campur berhubung kemelut Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) yang sebelum ini membayangkan akan menarik diri daripada menyertai Liga Malaysia pada tahun hadapan.
Menterinya Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, beliau tidak akan membiarkan bolasepak Sarawak terus tenggelam.
“Kita mahu melihat bolasepak Sarawak diuruskan dengan baik, tiada perbalahan di antara pusat dan bahagian.
“Di peringkat pusat kita ada FAS manakala di peringkat bahagian kita ada pertubuhan-pertubuhannya sendiri dan saya ingin melihat bolasepak dapat terus maju,” kata beliau pada program bersama media di Kuching hari ini.
Tambah Abdul Karim, satu pertemuan dengan Presiden FAS Datuk Posa Majais akan diadakan dalam masa terdekat untuk berbincang dan seterusnya mencari jalan penyelesaian.
Katanya, permasalahan tersebut dapat diuruskan dengan baik dan tiada keperluan bagi satu-satu pihak untuk menuntut pihak yang lain untuk meletak jawatan.
“Saya percaya perkara ini timbul setelah presiden memaklumkan bahawa Sarawak mungkin tidak menyertai Liga Malaysia pada tahun hadapan.
“Mereka (ahli persatuan) adalah bekas pemain-pemain Sarawak yang sayang dan menjiwai bolasepak dan atas sebab itu mereka berasa sangat sedih,” kata Abdul Karim.
Semalam, Persatuan Bekas-Bekas Pemain Sarawak mendesak Posa untuk meletak jawatan ekoran kenyataan tersebut.
Posa menerusi satu keyataan baru-baru ini berkata FAS mungkin terpaksa menarik diri daripada menyertai Liga Malaysia pada tahun hadapan jika tiada pihak tampil membantu khususnya dari segi kewangan. — DayakDaily