Abdul Karim: PSB tiada impak pada PRN12

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah —file pic

KUCHING, 4 NOV: PSB tidak akan membawa impak besar pada Pilihanraya Negeri Ke-12, tegas naib presiden PBB Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Adun Asajaya yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan itu berkata, Parti Sarawak Bersatu (PSB) menghimpunkan serpihan pemimpin Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Jelas Abdul Karim, rata-rata pemimpin ini sudah tidak diperlukan lagi di dalam parti mereka yang terdahulu.


“Boleh saya katakan bahawa PSB adalah parti yang menempatkan pemimpin-pemimpin yang telah ditendang dari parti asal mereka.

“Maksudnya, pemimpin-pemimpin ini sudah tidak diperlukan lagi di SUPP, PRS dan PKR.

“Justeru, wujud perasaan dendam pada diri mereka untuk bertanding semula di kerusi yang telah ditinggalkan,” kata pemimpin kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu pada program bersama media di pejabat beliau di Bangunan Bailtulmakmur di sini, hari ini.

Mengulas lanjut berhubung Adun Ba’Kelalan Baru Bian yang telah menyertai PSB dari PKR, Karim berkata tindakannya bertentangan dengan prinsip yang diperjuangkan beliau selama ini.

Katanya, umum mengetahui bahawa PSB disokong golongan ‘tycoon’ syarikat perkayuan dan perladangan yang juga dikatakan telah mengerjakan hutan di mana tanah Bumiputera berada.

“Kawasan ini yang Baru selalu perjuangkan tetapi sekarang beliau telah bersama mereka.

“Oleh sebab itu saya ingin bertanya, di mana prinsip Baru. Dahulu beliau menentang syarikat-syarikat ini, tetapi sekarang beliau menyertai parti yang di sokong oleh syarikat besar ini.

“Saya harap penyokong-penyokong beliau sedar akan semua ini,” jelas Abdul Karim. — DayakDaily