Abdul Karim: Pasukan perunding eksekutif capai matlamat utama

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah - file pic

Oleh Chris Bishop

SERIAN, 13 Sept: Pasukan perunding eksekutif kerajaan negeri telah mencapai matlamat utama dan tiada keperluan melibatkan pasukan perunding yang lain, kata Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Abdul Karim berkata demikian sebagai menjawab kritikan Adun Parti Tindakan Demokratik (DAP) Bukit Assek Irene Chang melalui sebuah berita ‘portal’ yang berkata pandangan beliau tidak boleh diterima.


Chang yang juga wakil DAP dalam jawatankuasa rundingan Perjanjian Malaysia (MA63) Sarawak membidas Abdul Karim kerana berkata bahawa pasukan perunding itu tidak perlu bermesyuarat dan membincangkan isu berkaitan minyak dan gas.

“Permintaan yang mustahak adalah hak-hak pada minyak dan gas. Ia secara perlahan telah diberi balik kepada kita.

“Itu menunjukan perundingan telah bergerak ke arah yang betul dan tiada keperluan untuk melibatkan terlalu banyak pasukan perunding,” kata Abdul Karim ketika ditemui di Serian hari ini.

Tambah beliau lagi, sebuah kerajaan diwakili tiga komponen utama iaitu legislatif (pengubal undang-undang), eksekutif dan badan kehakiman.

Katanya yang juga Menteri Belia dan Sukan, komponen penting yang menguruskan kerajaan negeri atau kerajaan pusat adalah eksekutif.

“Eksekutif mengerakkan semuanya, tetapi saya sama sekali tidak menyisihkan pengubal undang-undang.

“Chang dan ADUN Batu Lintang See Chee How berpandangan seperti pengubal undang-undang harus mengambil alih.

“Pengubal undang-undang ada had tempohnya. Dua tiga bulan lagi kita bukan pengubal undang-undang lagi kerana DUN akan dibubarkan dan bagaimana nanti pasukan perunding ini,” tegas Abdul Karim.

Oleh sebab itu, tambahnya lagi, tiada salah eksekutif sebagai pasukan perunding kerana rundingan bergerak ke arah yang betul.

Dalam pada itu, Abdul Karim berkata hasil rundingan tersebut Sarawak telah berjaya memperolehi bayaran lima peratus cukai jualan produk minyak dan gas dari Petroliam Nasional Berhad (Petronas). — DayakDaily