Polis Miri giat mencari tiga suspek yang merompak pramugari


Oleh Brad Rantayy

MIRI, 13 Sept: Seorang pramugari yang berkhidmat dengan sebuah syarikat penerbangan luar bandar di sini, menjadi mangsa rompak ketika berjalan kaki balik ke unit pangsapurinya selepas keluar membeli buah-buahan dari sebuah kedai berdekatan di Jalan Airport pada petang Jumaat (11 Sept).

Susulan kejadian, satu laporan polis telah dibuat oleh mangsa yang berusia 49 tahun, jelas Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah.


“Kejadian berlaku kira-kira jam 4.45 petang berhadapan pintu masuk ‘apartment’ tersebut, sebelum didatangi tiga lelaki yang menaiki dua buah motorsikal, dan salah seorang daripada suspek mengacukan pisau ke arah mangsa sambil mengarahkannya menyerahkan bagnya,” menurut Lim.

Usaha menjejak ketiga-tiga suspek, dipercayai warga tempatan, sedang giat dilakukan.

Dalam kejadian tersebut, mangsa dalam keadaan terkejut dan bertindak melawan sebelum ditolak jatuh oleh suspek yang kemudiannya melarikan diri bersama bag mangsa.

Antara barangan milik mangsa yang hilang dalam kejadian ialah beberapa kad bank, sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM200.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 kerana samun berkawan bersenjatakan pisau. — DayakDaily