PKR Sarawak anggap Baru Bian mirip BN-GPS

Joshua Jabeng

KUCHING, 13 Sept: PKR Sarawak mendakwa MP Selangau Baru Bian kini tampil mirip BN-GPS.

Menurut Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Joshua Jabeng, Baru dahulunya terkenal bersuara lantang menentang pentadbiran tanah Barisan Nasional (BN)-Gabungan Parti Sarawak (GPS), penyalahgunaan kuasa, rasuah, hak tanah asal dan Alkitab.

“Namun kini sangat mengecewakan apabila Baru Bian tampil mirip BN-GPS.

“Ramai pengundi Selangau tidak pernah lupa janji Baru untuk mempertahankan tanah temuda, pulau galau dan pemakai menua mereka,” menurut beliau menerusi satu kenyataan hari ini.

Joshua berkata demikian sebagai menjawab dakwaan Baru bahawa terdapat beberapa individu di Selangau yang bergerak aktif di sekitar kawasan tersebut untuk mewujudkan isu-isu yang boleh menyebabkan perpecahan masyarakat.


Dengan dakwaan baru itu, Joshua turut menganggap Baru seolah-olah keliru atau hilang ingatan.

“Mungkin Baru Bian perlu diingatkan semula insiden langkah jijik Sheraton,” ujar Joshua lagi.

Dalam pada itu beliau memaklumkan bahawa PKR Cabang Selangau masih utuh dan akan bertanding di kedua-dua kerusi, Tamin dan Kakus pada PRN12 yang akan datang.

Menurut Joshua, ADUN Kidurong Chiew Chin Sing yang mewakili Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan rakan seperjuangan Pakatan Harapan telah menyatakan komitmen penuh untuk menyokong calon PKR di Kakus. — DayakDaily