Abdul Karim kecam sindiran Setiausaha Agung MAS terhadap Pandelela

Abdul Karim Rahman Hamzah

KUCHING, 14 Feb: Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah mengecam sindiran Setiausaha Agung Persekutuan Renang Malaysia (MAS) Andy Low terhadap atlit terjun negara Dato Pandelela Rinong.

Menurut Abdul Karim, tiada keperluan bagi Andy untuk mengeluarkan sindiran terhadap atlit yang telah menyumbang pingat kepada negara khususnya Sukan Olimpik.

“Bila saya baca, saya terkilan dengan kenyataan Andy yang seperti menyindir, ia tidak baik.


“Pandalela banyak menyumbang kepada negara,” kata Abdul Karim pada satu sidang media di Kuching hari ini.

Justeru Abdul Karim bertanya kepada Andy samada MAS memiliki barisan pelapis sukan terjun yang boleh mengikut jejak cemerlang Pandelela satu hari ini.

“Persoalannya adakah MAS sudah melahirkan barisan pelapis yang boleh diharap.

“Dalam tempoh sepuluh tahun yang lalu, apa persatuan buat, apa setiausaha buat. Jangan hanya bermegah megah dengan jawatan sahaja.

“Tak perlulah pegawai pegawai ini memperkecilkan atlit, lebih-lebih lagi atlit dari Sarawak.

“Saya sendiri sebagai menteri sukan pun berasa kecil hati. Andy pernah kah harumkan nama Malaysia,” ujar Abdul Karim.

Andy menerusi satu laporan berita nasional semalam dipetik berkata “Manusia bila gagal bagi alasan, tolak kiri kanan, ini orang semua tidak profesional tetapi mahu ambil gaji.”
— DayakDaily