Abang Johari komited untuk adil kepada semua bangsa dalam membangunkan Sarawak

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (file photo)
Advertisement

KUCHING, 30 Jan: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg komited untuk adil kepada semua bangsa dengan pelbagai latar belakang di negeri ini.

Katanya, beliau akan menjadi ketua menteri untuk mempertahankan hak orang Sarawak.

“Jadi, tiada bezanya samada saya di Satok, Gedong, Sebuyau, Asajaya, Sadong Jaya atau Tupong. Saya akan adil dan membantu dalam kita membangunkan negeri kita.

Advertisement

“Apabila saya menggantikan arwah Tok Nan (Pehin Sri Adenan Satem), saya berazam untuk membangunkan bukan sahaja dalam bandar tetapi luar bandar, dan sekaligus dapat membangunkan ekonomi negeri kita.

“Apabila ekonomi kita membangun, maka peluang pelaburan, pekerjaan dan juga rezeki akan bertambah,” katanya dalam ucapan di Majlis Kesyukuran Dan Apresiasi DUN Satok di sini, malam tadi.

Tambah Abang Johari, dalam tempoh 3 tahun pertama menjadi ketua menteri, beliau berusaha mencari jalan bagaimana hendak memantapkan lagi pendapatan negeri.

Setelah membaca perlembagaan katanya, Sarawak ada kuasa otonomi di dalam beberapa bidang.

“Ia dimulakan oleh arwah Tok Nan maka saya kaji semua yang ada, akhirnya kita rasa ada cara untuk memantapkan ekonomi kita kerana kita ada kuasa dari sudut cukai jualan.

“Oleh sebab itu saya berlawan dengan Petronas dan akhirnya keputusan memihak kepada kita dengan itu pendapatan kita dalam satu tahun ada tambahan lebih kurang RM3 bilion.

“Dalam masa 3 tahun kita telah mengutip RM7.2 bilion,” ujar Abang Johari.

Dalam ucapan yang sama, beliau yakin dalam masa 5 tahun akan datang banyak lagi rezeki akan diperolehi Sarawak.

“Sebab itu saya berani memberikan bantuan kepada rakyat Sarawak.

“Niat saya adalah bila ada rezeki kita beri balik kepada rakyat kerana mereka mesti menerima apa yang kita dapat dalam pembangunan kita,” katanya lagi. — DayakDaily

Advertisement