KUCHING, 3 Julai: Lebih 98 peratus daripada 14,000 tenaga kerja di kawasan Zon Industri Samajaya (Teknologi Tinggi) adalah pekerja tempatan.
Menurut Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, ia melibatkan pekerja dalam jawatan pengurusan tertinggi, jurutera dan pekerja kepakaran teknikal.
“Kita ada sumber termasuk tenaga kerja yang memiliki kepakaran dalam pelbagai bidang teknikal.
“Di kawasan Zon Industri Samajaya, kita ada syarikat multinasional dari Amerika, Korea, Jepun dan negara lain,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Minggu Perusahaan Mikro, Kecil Dan Sederhana di Lawas pada semalam.
Tambah Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian dan Usahawan merangkap Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua, pelabur-pelabur dari negara luar berminat untuk melabur di Sarawak kerana negeri ini stabil dari sudut politik.
“Saya baru balik dari Australia Barat bertemu dengan pelbagai wakil syarikat termasuk dewan perniagaan Australia-Malaysia.
“Mereka berminat untuk melabur di Sarawak, meningkatkan lagi perdagangan di antara Sarawak dan Australia.
“Jadi, potensi kita banyak dan bukan sahaja di perdagangan dengan negara jiran Brunei, Indonesia dan Sabah.
“Pelabur ini berminat kerana politik kita stabil, kepimpinan Premier Sarawak melihat kepada masa hadapan,” ujar Awang Tengah.
Sementara itu, Awang Tengah berkata, minggu depan beliau akan mengetuai delegasi ke Singapura dan seterusnya ke Amerika dan Eropah untuk bertemu dengan pelabur-pelabur. — DayakDaily