92 stesen 5G beroperasi di bandar utama Sarawak akhir tahun ini

Julaihi bercakap semasa sidang media di Kompleks DUN pada 29 Nov 2022.

KUCHING, 29 Nov: Sebanyak 92 buah stesen rangkaian 5G bersedia untuk memberi perkhidmatan di Sarawak pada akhir tahun ini.

Menurut Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi, ia adalah sebahagian daripada lebih 500 buah stesen rangkaian 5G yang sedang dilaksanakan.

Pelaksanaannya meliputi semua bandar-bandar utama seperti Kuching, Miri, Bintulu dan Sibu yang dijangka beroperasi secara berperingkat sehingga akhir tahun 2023.


“Untuk merealisasikan transformasi ekonomi digital di Sarawak, ketersediaan teknologi 5G di Sarawak sedang giat dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Digital Nasional Berhad (DNB).

“Pelaksanaan 5G di Sarawak telah bermula pada pertengahan tahun ini dengan jumlah pelaburan RM1 bilion untuk tempoh 10 tahun,” katanya dalam ucapan Penggulungan Kementerian di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Dalam pada itu tambah Julaihi, sebanyak 7,000 buah menara dan struktur telekomunikasi diperlukan untuk memastikan liputan penuh telekomunikasi di seluruh Sarawak termasuklah di kawasan luar bandar.

Setakat ini katanya, sebanyak 3,539 buah menara bersamaan dengan 50.6 peratus daripada jumlah keseluruhan menara yang disasarkan telah dibina di Sarawak.

Manakala di bawah projek Sarawak Multimedia Authority Rural Telecommunication (SMART), sebanyak 600 buah menara telekomunikasi dilaksanakan dalam 2 fasa di mana setiap fasa masing-masingnya mempunyai 300 buah menara telekomunikasi.

“Bagi fasa pertama, daripada 300 buah menara, sebanyak 124 buah menara dijangka beroperasi pada penghujung tahun ini apabila kerja-kerja pemasangan peralatan telekomunikasi di menara siap sepenuhnya.

“Baki 176 buah menara lagi akan dipasang dengan peralatan telekomunikasi dan dijangka beroperasi pada suku kedua 2023.

“Manakala untuk fasa kedua pula, 300 buah menara dalam fasa perolehan tapak. Menara-menara tersebut dijangka akan beroperasi sepenuhnya pada penghujung tahun 2023,” ujar Julaihi.

Bagi perkhidmatan internet untuk komuniti luar bandar, Julaihi memaklumkan bahawa kerajaan telah memperkenalkan Sarawak Rural Broadband Network (MySRBN).

Menurut beliau, sebanyak 159 daripada 194 tapak MySRBN telah beroperasi, manakala baki 35 lagi dalam peringkat pelaksanaan.

Katanya, semenjak diperkenalkan pada Julai 2021, MySRBN merekodkan sebanyak 15,636 langganan yang meliputi kediaman persendirian, rumah panjang, klinik, sekolah dan balai raya.

Kerajaan Sarawak menyasarkan sebanyak 45,000 buah kediaman di kawasan luar bandar dapat menikmati perkhidmatan internet MySRBN menjelang suku keempat tahun 2023. — DayakDaily