KUCHING, 15 Jan: Sebanyak 800 kampit beras diagihkan kepada golongan memerlukan khususnya B40 di Miri hari ini.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), ia adalah inisiatif Pertubuhan Penganut Agama Bodhisattva Miri sempena Perayaan Tahun Baharu Cina.
Sumbangan telah disampaikan Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin di Tokong Guan Yin Tudan di Miri.
Penerima sumbangan meliputi individu terpilih yang mewakili agensi, persatuan serta golongan memerlukan.
Mereka termasuk golongan B40, Rumah Warga Tua Miri, Persatuan Ibu Bapa Kanak-Kanak Istimewa Miri (Pibakis), Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM), Hospital Miri dan Pusat Dialisis Buah Pinggang (KDC).
“Pemberian sumbangan sempena musim perayaan sedikit sebanyak memberi peluang kepada mereka yang kurang berkemampuan untuk turut merasai kemeriahan sambutan.
“Perkara ini sejajar dengan usaha kerajaan negeri untuk mempromosikan pembangunan masyarakat penyayang di Sarawak,” kata Lee.
Tambah Lee yang juga Adun Senadin, dalam kehidupan bermasyarakat adalah menjadi tanggungjawab individu ataupun kolektif untuk membela nasib golongan yang tidak berkemampuan. — DayakDaily