Menteri Pelancongan kepada MP PAS: Hentikan kenyataan tak relevan, rugikan negara

Dato Sri Tiong King Sing (file photo)

KUCHING, 15 Jan: Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya Dato Sri Tiong King Sing menggesa pemimpin dari Parti Islam Se-Malaysia (PAS) berhenti mengeluarkan kenyataan yang tidak relevan yang boleh merugikan negara.

Ia berhubung kenyataan MP Permatang Pauh Muhammad Fawwaz Mohamad Jan yang mendesak pihak pengurusan sebuah pusat membeli-belah di Seberang Jaya supaya berhenti menjual arak secara terbuka.

“Sebagai Ahli Parlimen, beliau seharusnya memahami bahawa Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum dan agama.


“Maka beliau tidak sepatutnya memperbesarkan isu ini,” kata Tiong dalam hantaran di laman Facebook rasminya semalam.

Dalam masa yang sama, tambah beliau, Pulau Pinang merupakan destinasi pelancongan utama di negara kita.

Katanya, negara amat mengalu-alukan kedatangan pelancong dari seluruh dunia setiap tahun ke Pulau Pinang.

“Ramai pelancong asing datang ke Pulau Pinang untuk melancong, melawat tempat bersejarah dan menikmati masa senggang dengan ‘minum-minum’ bersama ahli keluarga dan rakan-rakan.

“Oleh itu, adalah perlu untuk kerajaan negeri Pulau Pinang mempertimbangkan isu ini semula dalam masa yang sama tidak membelakangkan kaum lain bagi mengekalkan keharmonian di negara ini,” ujar Tiong. — DayakDaily