BINTULU, Sep 5: Lapan kru kapal kargo berdepan detik cemas apabila kapal kargo yang dinaiki mereka hampir karam akibat dilanda ribut pada jarak lebih kurang 17 batu nautika daripada Pelabuhan Bintulu.
Kesemua mangsa, yang berumur lingkungan 20 sehingga 71 tahun, dalam keadaan baik tanpa mengalami sebarang kecederaan susulan kejadian tersebut selepas berjaya diselamatkan.
Menurut pemangku pengarah zon Bintulu Komander maritim Effendy Mohamed Fadil, pusat operasi telah menerima laporan berkait kejadian tersebut sekitar jam 9.50 pagi tadi dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan sejurus laporan diterima.
Dua aset laut Maritim Malaysia iaitu Kapal Maritim (KM) Jepak dan Bot Kilat 44 telah diatur gerak bagi melaksanakan operasi SAR tersebut.
“Pada jam sekitar 11.00 pagi, kesemua lapan orang kru kapal kargo berjaya diselamatkan oleh kapal Maritim Malaysia dengan dibantu oleh sebuah bot nelayan tempatan yang berada berhampiran dengan lokasi kejadian.
“Hasil siasatan awal mendapati kesemua mangsa adalah warga Indonesia dan berjaya menyelamatkan diri dengan menggunakan rakit keselamatan setelah menyedari kapal kargo tersebut hampir tenggelam akibat dilanda ribut,” kata Effendi dalam satu kenyataan.
Beliau turut berkata kesemua kru kapal tersebut akan dirujuk kepada pusat kesihatan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan ujian bagi mencegah penularan wabak covid-19 dikalangan warga asing dan akan diserahkan kepada pihak yang berwajib untuk tindakan lanjut.
Maritim Malaysia Bintulu menggesa komuniti maritim terutamanya di Bintulu supaya mengutamakan keselamatan semasa berada di laut dengan sentiasa memakai jaket keselamatan memandangkan keadaan cuaca di laut pada masa ini yang kurang baik.-DayakDaily