79 kubur di Muara Lebaan diceroboh dan dirosakkan

Antara kubur yang dirosakkan.
Advertisement

BINTANGOR, 13 April: Sekurang-kurangnya 79 kubur di Tanah Perkuburan Muara Lebaan, di sini diceroboh dan dirosakkan.

Ketua Polis Daerah Maradong DSP Sekam Anoi berkata laporan polis diterima pada jam 12.33 tengah hari semalam.

Susulan itu katanya, anggotanya dari Bahagian Siasatan Jenayah terus ke lokasi untuk membuat siasatan.

Advertisement

“Hasil siasatan awal mendapati sekurang-kurangnya 79 buah kubur di tanah perkuburan tersebut telah dirosakkan, di mana simennya telah dipecahkan dan dikorek sehingga menampakkan keranda,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, hasil soal siasat pengadu juga memberitahu kali terakhir dia bersama penduduk kampung ke kawasan perkuburan tersebut adalah pada 30 Mac lalu.

Tambahnya, pengadu memberitahu dia hanya mengetahui kejadian tersebut melalui Facebook.

“Justeru orang awam atau mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung kejadian dimohon agar tampil untuk membantu siasatan,” katanya.

Siasatan lanjut kes dijalankan dibawah Seksyen 297 Kanun Keseksaan.

Sebarang maklumat boleh disalurkan terus dengan menghubungi pengawai penyiasat di talian 084-693222 atau mana-mana balai polis berhampiran. — DayakDaily

Advertisement