77 KIR Kampung Bako Hulu dan Bako Tengah terima sumbangan bencana banjir

Dr Hazland (enam kiri) bergambar beramai-ramai bersama dengan penerima sumbangan dana banjir dari Kampung Bako Hulu dan Bako Tengah.
Advertisement

KUCHING, 30 Jan: Seramai 77 Ketua Isi Rumah (KIR) dari Kampung Bako Hulu dan Bako Tengah menerima sumbangan bencana banjir pada Sabtu lepas.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Dr Hazland Abang Hipni dalam satu kenyataan berkata, sumbangan bertujuan meringankan beban penduduk yang terkesan akibat banjir yang melanda baru-baru ini.

“Setiap tahun pada musim tengkujuh dan fenomena air pasang besar serta hujan lebat yang berterusan akan menyebabkan air naik dan seterusnya mendatangkan banjir kilat khususnya kepada penduduk yang tinggal di tepi sungai.

Advertisement

“Ini dapat dilihat di kawasan Kampung Bako yang menempatkan sejumlah penduduk di Kampung Bako Hulu, Bako Tengah dan Bako Hilir.

“Malah, air pasang besar yang turut berlaku bersama dengan hujan lebat berterusan telah menyebabkan air naik secara mendadak hingga menyebabkan banjir kilat,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Hazland yang juga ADUN Demak Laut turut meminta penduduk di DUN Demak Laut yang tinggal di kawasan tepi sungai dan laut untuk bersiap sedia berpindah sekiranya banjir yang berlaku semakin buruk.

“Ketika ini, cuaca masih diramal akan hujan dan penduduk diingatkan sentiasa bersiap sedia.

“Untuk lebih selamat, peralatan elektrik perlu diletakan di tempat yang tinggi dan juga pastikan dokumen penting disimpan di tempat selamat.

“Penduduk juga perlu mendapatkan informasi terkini mengenai cuaca dansekiranya perlu berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atas arahan daripada pihak berkuasa hendaklah segera dipatuhi,” ujarnya. — DayakDaily

Advertisement