729 buah premis perniagaan sudah diperiksa di seluruh Sarawak

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNEP) - logo

BINTULU, Sept 20: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNEP) Sarawak telah memeriksa sebanyak 729 premis perniagaan di negeri ini susulan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) mulai Sept 1 lepas.

Timbalan Pengarah KPDNHEP Sarawak, Mohd Nawawi Abdul Rahman berkata, pemeriksaan yang sudah dijalankan juga melibatkan 21,870 pelbagai jenis barangan.

Menurutnya, setakat ini juga, sebanyak 46 aduan telah diterima dan 23 notis amaran telah dikeluarkan terdapat para peniaga.

“Kita juga akan mengambil tindakan tegas terhadap para peniaga yang didapati masih ingkar dengan menaikkan harga susulan pelaksanaan semula SST awal bulan ini.

“Jika ada para pembekal yang cuba mengenakan caj kepada kedai runcit dan sebagainya dan kita dapati harganya tidak masuk akal juga akan dikenakan tindakan tegas diambil,” katanya selepas mengetuai pemeriksaan dan pemantauan Operasi Catut 5.0 KPDNHEP di sebuah pasaraya di sini hari ini.


Dalam pada itu, beliau memberitahu, para pengguna juga harus memainkan peranan mereka semasa menjalankan sebarang transaksi pembayaran.

Katanya, mereka perlu mengetahui senarai produk yang dikenakan SST.

“Ini adalah kerana kadang-kadang terdapat juga kedai yang mengenakan SST pada barang ataupun produk yang tidak dikenakan cukai.

“Justeru, orang awam mestilah menjadi pengguna bijak dengan memeriksa transaksi dan menyimpan resit sebagai bukti pembelian,” ujarnya lagi. — DayakDaily