Oleh Brad Rantayy
MIRI, 31 Mei: Tujuh individu termasuk dua wanita disyaki bergaduh menggunakan senjata tajam di kawasan tempat letak kereta di Jalan Boulevard semalam ditahan polis untuk tindakan lanjut.
Kesemua suspek berusia 16 sehingga 33 tahun itu telah dibawa ke lokap Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.
Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Alezson Naga Chabu, beberapa bilah parang turut dirampas semasa tangkapan yang dilakukan sekitar jam 10 malam Isnin (30 Mei) itu.
Tangkapan dilakukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Unit Ronda Cegah Jenayah (RCJ) IPD Miri semasa melakukan Rondaan Gawai di kawasan tersebut.
Punca kejadian masih lagi dalam siasatan.
Polis menasihatkan orang awam supaya tidak mengambil sebarang tindakan diluar batas undang-undang untuk menyelesaikan segala permasalahan serta diminta untuk menyelesaikan masalah dengan saluran yang betul dan ditegah sama sekali terlibat dengan jenayah kekerasan yang mengancam keamanan dan ketenteraman bersama.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1) Akta Kakisan dan Peraturan 25(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara (PPPN) 1990. — DayakDaily