Polis kesan dua lelaki bergaduh di Jalan Pending

Tangkap layar dari video yang tular.

Oleh DayakDaily Team

KUCHING, 2 Mei: Polis kini sedang mengesan dua individu yang bergaduh di Jalan Pending di sini dalam video tular baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata satu laporan polis telah diterima berkaitan kes tersebut dan siasatan lanjut masih dijalankan.


“Satu laporan polis telah diterima berkaitan satu video yang tular di media sosial berhubung kejadian pergaduhan di Jalan Pending pada 30 April sekitar jam 9 pagi.

“Pihak polis masih dalam tindakan mengesan suspek yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan.

Punca kejadian dipercayai disebabkan tidak puas hati kerana tidak diberikan laluan.

Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera dan ugutan jenayah.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Kita menyeru kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan kejadian dengan menghubungi Pusat Kawalan IPD Kuching di talian 082-244444 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. ā€” DayakDaily