KUCHING, Mei 27: Keseluruhannya sebanyak enam kes kemalangan melibatkan orang ramai yang menggunakan eskalator telah dilaporkan di negeri ini sepanjang tahun lepas.
Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan (JKKP) Sarawak, Nor Halim Hasan berkata semua enam kes tersebut telah menyebabkan orang ramai yang mengunakan eskalator terbabit mengalami kecederaan.
“Tiada kematian dalam enam kes kemalangan eskalator di negeri ini tahun lepas, cuma kecederaan. Tahun 2019 ini pula masih belum ada kes kemalangan eskalator berlaku di negeri ini dan diharapkan ini dikekalkan sehingga hujung tahun,” katanya selepas melancarkan Kempen Kesedaran dan Keselamatan Pengguna Lift dan Eskalator (LIFE) Peringkat Sarawak 2019 di pusat beli belah Vivacity Megamall, di sini, hari ini.
Kempen berkenaan dianjurkan jabatan itu bersama lapan syarikat pemasangan dan penyelengaraan eskalator dan lift bersempena Hari Gawai Dayak dan Hari Raya Aidilfitri dan di lapan lokasi membabitkan pusat beli belah sekitar Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dari Mei 25-31.
Nor Halim berkata hasil siasatan mendapati antara punca utama kemalangan mengunakan eskalator di negeri ini adalah disebabkan isu penyelengaraan dan juga kecuaian pengguna yang tidak fokus semasa menggunakan eskalator dan menyebabkan mereka tersandung dan jatuh.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai di negeri ini lebih berhati-hati dan berwaspada mengunakan eskalator dan mengawasi anak yang dibawa mereka bersama supaya sentiasa berada dalam kedudukan yang betul iaitu kaki berada dalam kawasan ditetapkan berwarna kuning.
Ini kerana pernah berlaku kes kemalangan eskalator pada 2013 dimana seorang kanak-kanak terputus dua jari apabila tersepit pada ‘landing comb’ di satu pusat beli belah di negeri ini.
“Pada tahun 2015 pula, seorang anak perempuan berusia enam tahun maut selepas terjatuh dari tingkat dua selepas melalui ruang diantara eskalator di sebuah pusat beli belah di Kuala Lumpur,” tambahnya.
Manakala baru-baru ini pada April, seorang kanak-kanak berusia enam tahun cedera setelah kakinya tersepit pada eskalator di sebuah pusat beli belah di Seri Kembangan, Selangor.
Nor Halim berkata berdasarkan statistik JKKP Sarawak, setakat ini terdapat sebanyak 852 eskalator dan 2,250 lift yang aktif di negeri ini dan di bawah Akta Kilang dan Jentera 1967, setiap lift dan eskalator terbabit perlu mempunyai Sijil Perakuan Kelayakan (CF) dari jabatan itu.
“CF terbabit hanya sah untuk tempoh 15 bulan dan perlu melalui proses pemeriksaan semula bagi tujuan pembaharuan CF bagi 15 bulan berikutnya,” katanya.
Selain itu pemilik eskalator dan lift mesti melantik firma yang kompetan dan orang yang kompetan bagi menjalankan kerja penyelengaraan jentera terbabit mengikut jadual yang ditetapkan iaitu setiap tiga bulan. — DayakDaily