KUCHING, Jan 22: Seramai 59 kaki judi termasuk operator pusat perjudian haram di Sarawak ditahan menerusi 31 serbuan berasingan sepanjang minggu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, kesemua individu itu diberkas hasil serbuan yang dilakukan di Bau, Serian, Padawan, Miri, Sibu, Bintulu, Saratok, Serian, Kota Samarahan, Lawas, Tatau termasuk Kuching, mulai 15 hingga 21 Januari lalu.
Menurut beliau, daripada 31 serbuan itu, polis telah melakukan 24 serbuan di premis menjual loteri haram, lima serbuan di pusat judi dalam talian serta dua serbuan di gelanggang judi sabung ayam.
“Kesemua kaki judi yang ditahan tersebut berusia antara 17 hingga 73 tahun termasuk tiga warga asing.
“Daripada 59 kaki yang diberkas, 42 merupakan lelaki, manakala selebihnya pula wanita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Dev memberitahu, hasil serbuan dan pemeriksaan lanjut, polis telah merampas wang tunai berjumlah RM5,501 dipercayai hasil perjudian haram.
Katanya, polis turut merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk perjudian haram seperti kalkulator, telefon bimbit, pencetak mudah alih dan kertas pertaruhan.
“Kes itu disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Ordinan Mencegah Kezaliman Terhadap Haiwan 1962,” katanya. — DayakDaily