Bank Rakyat menyumbang RM140K untuk meringankan beban pelajar B40

Nizam Sani ( tiga kiri) menyampaikan cek sumbangan Yayasan Bank Rakyat (YBR) sebanyak RM140,000 bagi membantu 1,400 pelajar sekolah di negeri ini kepada Penolong Pengarah Hal Ehwal Murid JPN Sarawak, Jaya Uki ( dua kiri)hari ini.

KUCHING, 17 Dis: Bank Rakyat telah menyumbangkan bantuan persekolahan Yayasan Bank Rakyat (YBR) berjumlah RM140,000 bagi membantu seramai 1,400 pelajar di negeri ini kembali ke sekolah awal tahun hadapan.

Ketua Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani berkata sumbangan itu diserahkan pihaknya kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak bagi disalurkan kepada pelajar terbabit. Setiap pelajar akan menerima sebanyak RM100.

“Sumbangan ini diharapkan sedikit sebanyak dapat meringankan beban ibu bapa golongan B40 daripada segi perbelanjaan kelengkapan persekolahan anak-anak apabila sesi (persekolahan) tahun 2020 bermula nanti,” katanya ketika majlis penyerahan sumbangan kepada Penolong Pengarah Hal Ehwal Murid JPN Sarawak Jaya Uki, hari ini.

Nizam berkata Bank Rakyat selepas ini akan bekerjasama dengan JPN Sarawak untuk memilih 1,400 pelajar dari sekolah rendah sampai menengah yang layak menerima sumbangan.

Beliau berkata melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) tersebut, Bank Rakyat menerusi YBR menyumbangkan sejumlah RM1.47 juta kepada 14,700 orang pelajar yang terpilih di seluruh negara melalui Akaun Simpanan-i Nuri.

“Program (bantuan persekolahan) anjuran Bank Rakyat dan YBR ini sejajar tindakan baharu kerajaan iaitu Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 dan Matlamat Pembangunan Lestari, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) khususnya dalam menyediakan pendidikan berkualiti,” katanya.

Selain itu, Bank Rakyat juga ada Program Jom Kembali Ke Sekolah untuk membantu hampir 400 pelajar di seluruh negara mendapatkan pakaian seragam sekolah, kasut, beg, stokin dan sebagainya.

Katanya program itu yang merupakan kerjasama Bank Rakyat dan Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) sudah dimulakan di Melaka dan dijangka akan dilaksanakan di Sarawak pada 30 Disember tahun ini. —DayakDaily