5,679 mangsa banjir masih ditempatkan di 31 pusat pemindahan

Keadaan banjir di kawasan Long Jegan, hari ini.

KUCHING, Feb 8: Musibah banjir yang melanda negeri ini sejak hujung minggu lalu telah mengakibatkan seramai 5,679 mangsa ditempatkan di 31 pusat pemindahan sementara setakat pukul 12 tengah hari ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, Mejar Ismail Mahedin berkata, kesemua mangsa banjir yang terjejas itu daripada 1,722 buah keluarga.

Katanya, terdapat tujuh bahagian yang terjejas akibat bencana itu iaitu Kota Samarahan, Serian, Sibu, Mukah, Sarikei, Bintulu dan Limbang.


“Berdasarkan laporan terkini, seramai 1,483 mangsa terjejas direkodkan di Kota Samarahan, Serian (1,274), Sibu, 1,028, Mukah (89), Sarikei (8), Bintulu (1,341) dan Limbang (456),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Ismail memberitahu, bencana itu turut mengakibatkan 55 buah sekolah di tujuh bahagian terjejas ditutup.

Manakala ujarnya, terdapat 11 buah sekolah ditutup sebab digunakan sebagai pusat pemindahan sementara.

“Akibat banjir seramai 6,637 murid dan pelajar, 857 guru serta 332 kakitangan sokongan terjejas,” ujarnya lagi. — DayakDaily