5,522 polis bertugas sepanjang tempoh PRN-12

Datuk Aidi Ismail

KUCHING: Seramai 5,522 pegawai dan anggota polis akan bertugas pada hari penamaan calon dan sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 Sarawak.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sarawak juga telah mewujudkan sebanyak 47 pasukan Op Cantas di setiap daerah di negeri ini.

Jelasnya juga, pasukan ketenteraman awam iaitu Light Strike Force (LFS), Public Order And Riot Unit (PORU), Pasukan Pemantauan Udara serta bantuan unit dron dari Pasukan Gerakan Udara PDRM Kontinjen Sarawak turut bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.


“Polis Kontinjen Sarawak akan menggunakan Akta Kesalahan Pilihanraya 1954, Akta 342 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Akta Komunikasi Multimedia 1988, Kanun Keseksaan, Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan akta berkaitan pilihan raya sepanjang tempoh PRN-12 ini.

“Ini adalah untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin sepanjang tempoh tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Selain itu, Aidi turut mengingatkan calon dan parti yang bertanding untuk supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Katanya, ia agar proses penamaan calon dan proses pilihan raya dalam tempoh berkempen berjalan dengan lancar dan selamat.

“Tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja yang cuba mengganggu gugat ketenteraman awam di negeri ini dan polis tidak akan berkompromi terhadap perkara seperti ini.

“Orang ramai juga diminta untuk menyalurkan maklumat tentang sebarang pelanggaran undang-undang dan SOP oleh mana-mana pihak ke bilik gerakan khas Kontinjen Sarawak di talian 082-240800,” katanya. — DayakDaily