Mahkamah Buruh Sarawak terima tuntutan pengadu dengan jumlah keseluruhan RM2.5 juta pada 2020

Awang Raduan Awang Omar

KUCHING, 15 Feb: Mahkaman Buruh Sarawak telah menerima tuntutan dengan jumlah keseluruhan RM2,506,915.81 daripada pengadu sepanjang tahun 2020.

Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak Awang Raduan Awang Omar berkata, daripada jumlah tersebut sejumlah RM2,366,623 telah dikeluarkan perintah oleh Mahkamah Buruh.

“JTK Sarawak juga telah berjaya mengendalikan semua kes tuntutan buruh oleh pengadu.


“Kertas siasatan turut dibuka dan JTK Sarawak berjaya mengutip sejumlah RM453,000 kompaun pada tahun 2020,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Awang Raduan, sepanjang 2020, JTK Sarawak telah merekodkan sejumlah 4,856 tempat pekerjaan baharu manakala pemeriksaan berkanun telah dilaksanakan ke atas 4,304 premis majikan di seluruh Sarawak.

Daripada jumlah tersebut katanya, 358 merupakan pemeriksaan khusus di sektor perladangan yang melibatkan aktiviti pertanian, perikanan dan perhutanan.

Manakala bagi pemeriksaan terhadap pematuhan Perintah Gaji Minimum 2020, sebanyak 4,052 tempat pekerjaan telah diperiksa dan tindakan undang-undang telah diambil terhadap majikan yang gagal mematuhi perintah tersebut.

“JTK Sarawak turut mengendalikan kes pampasan pekerja yang melibatkan taksiran kes pampasan pekerja jenis bukan maut dan maut bagi pekerja bukan pemastautin.

“Sehingga Disember 2020, JTK Sarawak telah melaksanakan sejumlah 274 taksiran bagi kes bukan maut, manakala 45 kes merupakan taksiran kes maut bagi pekerja bukan pemastautin.,” ujar Awang Raduan.

Selain itu katanya lagi, JTK Sarawak memberi peringatan kepada semua majikan yang beroperasi di Sarawak tentang kewajipan mereka untuk mendaftarkan tempat pekerjaan dengan JTK Sarawak.

Ujar beliau, mana-mana majikan yang gagal berbuat demikian boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 jika disabit kesalahan.

JTK Sarawak turut mempergiatkan operasi di bawah Seksyen 119 berkenaan penggajian pekerja bukan pemastautin tanpa lesen yang sah dikeluarkan oleh jabatan.

“Mana-mana majikan yang terlibat dalam pengambilan pekerja bukan pemastautin tanpa lesen yang sah akan dikompaun dan tindakan pendakwaan akan diambil sekiranya majikan masih ingkar.

“Sekiranya disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 130L Ordinan Buruh, majikan akan didenda tidak melebihi RM 10,000 atau penjara selama enam bulan atau kedua-duanya sekali.

“Majikan di sektor swasta harus patuh terhadap undang-undang berkaitan perburuhan dan tindakan tegas akan diambil sekiranya mereka ingkar dan lalai dalam menjaga kebajikan pekerja,” katanya. — DayakDaily