5 perompak masuk rumah larikan kereta, telefon dan wang tunai di Siniawan

Rumah yang dimasuki oleh lima perompak di Siniawan.

BAU, Mei 23: Sepasang suami isteri hanya mampu membiarkan lima perompak melarikan sebuah kereta, tiga unit telefon bimbit selain wang tunai selepas mereka diikat guna wayar dalam satu kejadian rompak di Siniawan, awal pagi tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, pasangan suami isteri tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sumber memberitahu, siasatan awal mendapati kumpulan penjenayah itu dipercayai telah memasuki rumah mangsa melalui tingkap dapur kediaman tersebut.


Katanya, pasangan suami isteri itu kemudian diikat di tangan mereka dengan menggunakan wayar dan dawai penyidai pakaian.

“Siasatan lanjut mendapati suspek seramai lima orang lelaki; empat daripada mereka menutup muka, manakala seorang lagi tidak menutup mukanya,” katanya di sini hari ini.

Sumber menambah, pihak polis sudah ke tempat kejadian untuk melakukan siasatan dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sudah diambil bagi siasatan seterusnya.

Katanya, siasatan lanjut mendapati loghat yang digunakan suspek adalah dalam bahasa Bidayuh serta loghat Indonesia.

“Kes ini masih lagi dalam siasatan polis di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya. — DayakDaily