46,346 penerima sumbangan Program Sejambak Kasih untuk Hari Gawai, Hari Raya Aidilfitri

Datuk Seri Fatimah Abdullah
Advertisement

BAU, Mei 13: Seramai 46,346 orang penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) akan menerima sumbangan Program Sejambak Kasih sebanyak RM100 bagi mereka meraikan Hari Gawai Dayak atau Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah mengumumkannya dengan mereka merangkumi sehingga 82.62 peratus dari keseluruhan 56, 096 penerima bantuan JKMS setakat tahun ini.

“Seramai 31,535 orang (penerima bantuan) atau 56.22 peratus akan menerima sumbangan itu sempena perayaan Hari Gawai, sementara 14,811 orang (penerima bantuan) atau 26.40 peratus daripada jumlah penerima bantuan negeri Sarawak akan menerima sumbangan sempena Hari Raya Aidilfitri,” katanya ketika merasmikan Majlis Sejambak Kasih Gawai Raya dan Majlis Penyerahan Endowment Fund Daerah Bau, di Kampung Kaman, Krokong, di sini, semalam.

Advertisement

Seramai 200 orang penerima bantuan kebajikan telah menerima sumbangan RM100 terbabit di majlis itu disamping hamper bernilai RM50. Sumbangan juga akan dikreditkan ke akaun penerima yang tidak dapat menghadiri majlis itu.

Fatimah mendedahkan penerima sumbangan itu bagi Hari Gawai Dayak di bahagian Kuching adalah seramai 2,845 orang, Samarahan (1,177), Serian (3,222), Sri Aman (3,855), Betong (2,374), Sarikei (1,739), Sibu (5,477), Mukah (2,066), Kapit (2,852), Bintulu (2,455), Miri (2,318), dan Limbang (1,155).

Bagi Hari Raya Aidilfitri pula, penerimanya di bahagian Kuching adalah seramai 4,122 orang, Samarahan (2,740), Serian (287) Sri Aman (690), Betong (2,174), Sarikei (316), Sibu (525), Mukah (744), Kapit (48), Bintulu (653), Miri (850), dan Limbang (1,662).

“Manakala dari Januari hingga April 2019, JKMS telah menyalurkan perbelanjaan sebanyak RM67,314,880 untuk seramai 56,096 orang penerima bantuan di seluruh Sarawak,” katanya dengan bantuan terbabit termasuk Bantuan Orang Tua, Bantuan Kanak-Kanak, Bantuan Penjagaan Orang Kelainan Upaya (OKU) atau Pesakit Kronik terlantar dan Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja.

Katanya bilangan penerima bantuan tersebut semakin bertambah dari seramai 57,588 orang pada 2017 kepada seramai 58,038 orang pada 2018 dan seramai 56,096 tahun ini hasil usaha banyak pihak yang perihatin dengan ahli masyarakat kurang bernasib baik. — DayakDaily

Advertisement