45 kontena minuman keras dan rokok bernilai RM17.4 juta dirampas

Kelihatan minuman keras yang dirampas KDRM di Sibu.
Advertisement

SIBU, September 14: Sebanyak 45 kontena minuman keras dan rokok pelbagai jenama berjaya dirampas oleh Kastam Diraja Malaysia (KDRM) di sebuah jeti di Jalan Salim-Stabau, pada 5 Sept lepas.

Hasil pemeriksaan ke atas kontena itu mendapati 44 daripadanya mengandungi minuman keras pelbagai jenama yang berjumlah sebanyak 76,250 karton atau 734,791.20 liter bernilai RM2.42 juta dengan jumlah cukai sebanyak RM11.27 juta.

Ketua Pengarah KDRM, Datuk Seri Subromaniam Tholasy, berkata sebuah lagi kontena mengandungi 21,250 karton rokok putih dengan nilai RM340,000 dan jumlah cukai sebanyak RM3.10 juta.

Advertisement

Jelasnya, sementara nilai dan cukai bagi rampasan wine di dalam gudang pula dianggarkan sebanyak RM346,956.

“Nilai dan cukai keseluruhan barangan rampasan tersebut dianggarkan sebanyak RM17,476,956.71 juta.

“Kesemua barangan tersebut disita di bawah peruntukan Seksyen 114 Akta Kastam 1967 kerana disyaki telah berlaku kesalahan di bawah Seksyen 135(1) Akta yang sama,” katanya di sini hari ini.

Subromaniam menambah, kejayaan yang dicatatkan itu merupakan hasil serbuan sepasukan Pegawai Kastam dari Cawangan Penguatkuasaan KDRM Sarawak melalui satu gabungan operasi darat dan laut.

Katanya, sebuah bot penunda serta tongkang yang didaftarkan di negara ini juga telah ditahan dan tujuh orang kru rakyat Indonesia telah direman bagi membantu siasatan.

“Seorang lelaki tempatan juga sedang disiasat berkaitan rampasan di dalam gudang dan hasil siasatan awal mendapati kesemua barangan rampasan dibawa masuk dari Ho Chi Minh City, Vietnam.

“Kes itu pula disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport barang larangan tanpa permit import yang sah dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang larangan/barang belum lulus Kastam,” katanya.

Kelihatan minuman keras yang dirampas KDRM di Sibu.

Subromaniam memberitahu, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang atau hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali di bawah akta yang sama.

Manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya kata beliau, pesalah boleh didenda tidak kurang daripada 20 kali dan tidak melebihi 40 kali nilai barang atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

“KDRM adalah sangat komited dalam membanteras aktiviti penyeludupan dan akan mengambil tindakan tegas ke atas pihak yang bertanggungjawab.

“Justeru itu kerjasama orang ramai amat dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Pejabat Kastam terdekat atau menghubungi talian bebas tol 1800 888 855,” katanya. — DayakDaily

Advertisement