449 kayu balak haram dirampas, tiada tangkapan dilakukan

Pasukan operasi merampas 449 batang kayu balak haram.

KAPIT, April 13: Sarawak Forestry Corporation (SFC) bersama Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menumpaskan satu sindiket pembakalan haram di kawasan pemunggahan kayu balak berhampiran Sungai Sebunus dekat sini pada Rabu lepas.

Jurucakap SFC berkata, menerusi operasi bersepadu kira-kira pukul 11.30 pagi itu, pasukan tersebut berjaya merampas 449 batang kayu balak pelbagai saiz dan jenis.

Katanya, semasa serbuan dilakukan, tiada pekerja kem pembalakan ditemui di situ, dipercayai melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.


Kelihatan kawasan pemunggahan kayu balak haram yang dikesan dari udara.

“Pasukan operasi mengesyaki aktiviti berkenaan dijalankan tanpa kelulusan daripada pihak Jabatan Hutan Sarawak.

“Kesemua kayu telah disita dibawah Ordinan Perhutanan Sarawak 2015,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jurucakap sama menambah, satu laporan polis berhubung rampasan kayu balak itu telah dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kapit bagi siasatan lanjut.

Katanya, anggaran jumlah rampasan kesemua kayu balak itu masih lagi disiasat.

“Kita juga sedang mengesan syarikat atau individu yang disyaki terlibat dalam aktiviti pembalakan haram itu,” katanya. — DayakDaily