43 lesen Perladangan Hutan Perindustrian dikeluarkan

Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud (dua dari kanan) melakukan simbolik perasmian Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-45 Pusaka sambil disaksikan, Toh Puan Datuk Patinggi Ragard Kurdi Taib ( dua dari kiri) Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (kanan) dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (kiri), di BCCK, Sejingkat, di sini, semalam. (27 Jan, 2019)

KUCHING, 27 Jan: Kerajaan negeri sudah mengeluarkan sebanyak 43 lesen Perladangan Hutan Perindustrian (IFP) bagi membuka ladang hutan di negeri ini dan setakat ini Sarawak sudah mempunyai ladang itu seluas 420,146 hektar.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata demikian dengan kerajaan negeri mengeluarkan lesen terbabit sejak 1997 bagi menjadikan ladang hutan sebagai sumber bahan mentah lain menyokong pembangunan industri perkayuan negeri ini.

“Kerajaan negeri telah mengeluarkan 43 lesen IFP bagi mencapai sasaran menanam (ladang hutan) keseluruhannya kawasan seluas satu juta hektar pada 2020. Sehingga hari ini, sekitar 420,146 hektar (ladang hutan) yang sudah ditanam,”katanya ketika menghadiri Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-45 Pusaka, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Sejingkat, di sini, semalam.


Majlis terbabit telah dirasmikan tetamu kehormat Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan turut dihadiri isterinya Toh Puan Datuk Patinggi Ragard Kurdi Taib dan Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Lembaga Pengurusan Pusaka, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Abang Johari berkata berikutan kemajuan penanaman ladang hutan terbabit yang perlahan pihaknya telah menetapkan semula sasaran tempoh waktu bagi mencapai ladang hutan seluas 1 juta hektar dari tahun 2020 kepada tahun 2025.

“Saya berharap semua pemilik lesen terbabit mempercepatkan pembangunan perladangan hutan perindustrian (di negeri ini),”katanya.

Katanya penuaian dari perladangan hutan perindustrian di negeri ini telah bermula pada 2011 dengan pengeluaran balak sebanyak 44,000 meter padu dan pada 2018 sebanyak 1.72 juta meter padu serta dijangka terus meningkat bagi tahun hadapan.

Beliau juga meminta pemilik ladang hutan terbabit mempergiatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menambahbaik pengeluaran bahan penanaman berkualiti tinggi, kawalan penyakit dan racun perosak, pengurusan hutan dan penuaian.

Katanya industri berkaitan mesti meneroka peluang menghasilkan produk tambah nilai dari pengeluaran balak dari ladang hutan terbabit seperti kayu kejuruteraan, kertas dan pulpa, plastik-bio, bahan api-bio dan perabot.